ADVOKASI MEDIA PASCA COVID-19

Kita telah menghampiri dua bulan cabaran dan dugaan “berperang” dengan wabak yang telah mengakibatkan jangkitan 1/3 daripada populasi dunia.
Hampir seluruh dunia terkesan dengan masalah kesihatan kritikal, kepincangan ekonomi dan krisis sosial berterusan buat jangka masa dua tahun akan datang.
Dalam konteks negara kita, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari PKP1, PKP2 hingga PKP3 telah membuktikan bahawa negara kita mampu membendung penularan wabak berbahaya ini walaupun program-program sekatan pergerakan diperkenalkan kerajaan menempuh kesukaran dan kesulitan menguruskan sistem peradaban manusia ke satu amalan norma baru yang juga bakal menjadi tunggak kepada sistem perabadan manusia hari ini dan akan datang.
Sudah pastinya PKP 4 kali ini pula menampilkan pelaksanaan amalan rutin sosial masyarakat akan mengalami anjakan paradigma yang menuntut disiplin, keperihatinan dan kesungguhan setiap anggota masyarakat memelihara kebersihan, keselamatan dan kesihatan pada tahap optimum tanpa kompromi.
Pengamalan norma baru ini disifatkan Perdana Menteri kita, Tan Seri Muhyiddin Yassin sebagai satu amalan baru yang akan mengubah landskap kematangan cara masyarakat berfikir, melakukan sesuatu dan menilai tahap keselamatan dan kesihatan masing-masing sepanjang menjalani kehidupan dalam era digital hari ini dan pasca PKP.
Berkait dengan hal ini, advokasi media dan komunikasi menjadi suatu keutamaan bagi menentukan amalan norm baru pasca Covid-19 dapat memimpin minda masyarakat menjadi lebih baik, matang dan menjalani kehidupan dengan lebih disiplin.
Dalam erti kata lain,peranan media berstrategik bagi menyokong tindakan kerajaan mengubah minda masyarakat kita berfikir dan melaksanakan peranan mereka mengikut nilai nilai norma baru ini harus diberi perhatian khusus.
Media harus memainkan tanggungjawab sosial tanpa mementingkan keuntungan komersil untuk mendidik masyarakat menjalani nilai-nilai norma baru menerusi pendekatan seperti berikut;
• Membantu melancarkan kempen-kempen advokasi sosial yang memberi gambaran baru terhadap amalan-amalan norma baru, termasuklah menjana nilai-nilai kehidupan bermasyarakat dengan lebih positif, tanpa menyisihkan praktis budaya komuniti yang kita amalkan.
Media harus berupaya mengasingkan persepsi negatif masyarakat yang beranggapan nilai-nilai pembudayaan norma baru ini akan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap amalan keagamaan atau amalan tradisi masyarakat kita.
•Membantu menerapkan sifat keperihatinan masyarakat memacu amalan pengawalseliaan kendiri dari segi penjagaan kesihatan, kebersihan dan mendidik masyarakat membuat keputusan positif terhadap penjagaan amalan kendiri.
•Sejajar dengan lonjakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media sebanyak 22 anak tangga ke paras kedudukan 101 daripada 180 negara baru-baru ini, media haruslah mengambil peluang untuk mendidik masyarakat kita menilai sebaran berita-berita palsu dan yang bersifat propaganda untuk mengabuli mata mereka bagi mengundang konflik dan kontroversi berkaitan amalan-amalan norma baru pasca Covid-19 nanti.
Ini termasuk melaksanakan program banteras berita-berita palsu berkaitan dengan keselamatan negara, persengketaan kaum atau apa sahaja yang boleh mengundang kemudaratan kepada pemikiran dan perlakuan masyarakat kita.
•Pendekatan budaya siber yang memacu penggunakan teknologi maklumat digital hari ini mencerminkan bahawa masyarakat harus berubah dan mengalihkan strategi mereka menggunakan teknologi komunikasi secara lebih cekap, efisyen dan berupaya menyalurkan sumber maklumat dengan lebih pantas dan berpengaruh.
•Kerajaan,menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus menubuhkan Pusat Advokasi Maklumat Kebangsaan yang berfungsi untuk membantu dan mendidik masyarakat mengamalkan pengawalseliaan kendiri dan membuat keputusan penelitian kendiri terhadap maklumat-maklumat yang tular di media sosial serta menggalakkan lebih banyak penyaluran maklumat positif terhadap amalan norma baru. — AlHijrah Online
Penulis adalah penganalisis politik dan sosial serta pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Artikel disunting Syed Azwan Syed Ali.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.