TV ALHIJRAH REKODKAN 1.6 JUTA TONTONAN TV, 3 JUTA AUDIENS DI PLATFORM DIGITAL MINGGU PERTAMA RAMADAN

#QURANTIME TARIK 1 JUTA PENONTON TV, LEBIH 10 JUTA DI FB LIVE

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) berjaya meraih 1.6 juta tontonan TV dan 3 juta penonton di platform media digital sepanjang minggu pertama Ramadan.

Stesen TV Islamik itu juga mencatat tontonan tertinggi sepanjang waktu sahur dan buka puasa dengan program terbarunya #Qurantime menjadi pilihan utama dengan capaian sejuta audiens di TV dan lebih 10 juta penonton di platform FB Live.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, statistik minggu pertama Ramadan itu membuktikan stesen TV Islamik itu membuat penyesuaian yang relevan sesuai dengan kehendak semasa audiens yang mahukan program berbentuk kerohanian di bulan Ramadan.

Katanya, program-program di TV AlHijrah juga menepati selera audiens yang kini berada di rumah sejajar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

“TV AlHijrah sentiasa aktif memikirkan kaedah baru terutama di musim PKP dan COVID-19.

“Kita juga mengutamakan pengisian rohani di kala masyarakat dibebani isu COVID-19. TV AlHijrah mengambil peranan sebagai media penenang,” katanya kepada AlHijrah Online melalui whatsapp hari ini hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu hingga 12 Mei depan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang setakat ini meragut 105 nyawa di Malaysia dengan 6,353 kes jangkitan keseluruhan.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian TV AlHijrah, Namanzee berkata statistik itu juga menunjukkan penerimaan yang sangat baik daripada audiens, terutama orang muda dan golongan  matang berusia 50 tahun ke atas.

Selain boleh diakses melalui televisyen dan platform digital, lebih 200 kandungan audio Islamik TV AlHIjrah boleh diakses melalui Spotify. – AlHijrah Online

Leave a Reply