KUALA LUMPUR: Organisasi Sisters In Islam (SIS) umum menggugurkan perkataan Islam daripada namanya susulan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut kenyataan SIS, organisasi itu akan menggunakan SIS Forum sebagai nama rasmi yang baru.
“Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu.
“SIS Forum akan terus memperjuangkan hak wanita muslim dan keadilan dalam undang-undang,” kata organisasi itu.
Sebelum ini Sultan Sharafuddin menzahirkan duka cita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Fatwa Pemikiran Liberalism dan Pluralisme Agama tidak terpakai kepada SIS Forum.
Ia kerana fatwa itu dikatakan tidak terpakai kepada pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Susulan itu Sultan Sharafuddin menitahkan organisasi itu berhenti menggunakan perkataan ‘Sisters In Islam’ ke atas sebarang bentuk penerbitan di platform yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan. — AlHijrah Online