Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AL JAZEERA KUTUK PEMBUNUHAN HAMZA AL-DAHDOUH, MUSTAFA THURAYA DI GAZA

DUNIA

AL JAZEERA KUTUK PEMBUNUHAN HAMZA AL-DAHDOUH, MUSTAFA THURAYA DI GAZA

Serangan itu mengakibatkan kematian tragis wartawan Hamza AlDahdooh dan Mustafa Thuraya, anggota kru Al Jazeera selain menyebabkan seorang lagi wartawan Hazem Rajab cedera parah.

Sumber Gambar: AFP

DOHA: Rangkaian Media Al Jazeera mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyasarkan kereta seorang wartawan Palestin di utara Rafah di Semenanjung Gaza pada Ahad.

Serangan itu mengakibatkan kematian tragis wartawan Hamza AlDahdooh dan Mustafa Thuraya, anggota kru Al Jazeera selain menyebabkan seorang lagi wartawan Hazem Rajab cedera parah.

“Pembunuhan Mustafa dan Hamza, anak kepada pewarta veteran Al Jazeera Wael Al-Dahdoh, semasa mereka dalam perjalanan untuk melaksanakan tugasan mereka di Semenanjung Gaza, menegaskan semula keperluan untuk segera mengambil tindakan undang-undang terhadap tentera penceroboh untuk memastikan tiada pihak terlepas daripada hukuman,” menurut Al Jazeera dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Pada Nov 2023, tentera Israel secara sistematik menyasarkan Wael dan keluarganya, mengakibatkan kematian isteri, anak lelaki, anak perempuan dan cucu lelakinya.

Wael dan jurukamera, Samer Abu Daqqa turut menjadi sasaran serangan Israel pada Dis 2023.

“Pembunuhan Hamza pada Jan 2024 mengesahkan tanpa ragu-ragu tekad tentera Israel untuk meneruskan serangan kejam terhadap wartawan dan keluarga mereka yang bertujuan untuk menghalang pengamal media daripada melaksanakan misi mereka, bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar dan menjejaskan hak untuk hidup,” menurut kenyataan itu.

Al Jazeera turut mengutuk sekeras-kerasnya jenayah berterusan yang dilakukan oleh tentera penceroboh ke atas wartawan dan profesional media di Gaza dan menekankan bahawa trend yang membimbangkan itu memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa.

“Kami menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kerajaan, organisasi hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempertanggungjawabkan Israel ke atas jenayah kejamnya serta menggesa tindakan menyasarkan dan membunuh wartawan dihentikan,” menurut kenyataan itu.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading