AMIRUDIN ANGKAT SUMPAH MB SELANGOR BAGI PENGGAL KEDUA

KLANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar negeri ini bagi penggal kedua. 

Amirudin, 43, mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini kira-kira pukul 11.23 pagi.

Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos lalu. 

Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Sambil memegang Lembing Sembuana, Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor ke-16 melafazkan 10 ikrar aku janji sebagai Menteri Besar, antaranya memelihara serta menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan memelihara kedaulatan institusi raja serta mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. 

Beliau turut berikrar untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta pada masa sama kepentingan sah kaum lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor 1959, selain memelihara jawatan yang dipegang daripada dicemari dengan perlakuan menyalahi undang-undang.

Pada PRN lepas, Amirudin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua selama empat penggal berturut-turut sejak mula bertanding di kawasan itu pada 2008.

Beliau menang dengan majoriti 5,185 undi dengan memperoleh 19,678 undi menewaskan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas Suman Gopal (430 undi). 

Naib Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018.

Dilahirkan pada 8 Feb 1980 di Pontian, Johor, Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia. — AlHijrah Online

Leave a Reply