ANGGOTA POLIS MAUT SEMASA MENGEJAR PENJENAYAH

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan semasa mengejar penjenayah, di Kampung Kangkar Tebrau, pagi tadi.

Dalam kejadian tersebut, kenderaan peronda (MPV) yang dipandu anggota polis itu bergesel dengan kenderaan suspek yang menaiki Perodua Myvi sebelum bertembung dengan Perodua Aruz yang dinaiki orang awam.

Pertembungan itu menyebabkan kenderaan MPV tersebut terbalik dan mengakibatkan seorang anggota polis maut, manakala rakan setugasnya mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, Konstabel Nocholester Dadup Anak Unggat, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakan setugasnya, Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32, cedera parah dan dirawat di ICU Hospital Sultan Ismail (HSI).

Jenazah mendiang yang masih bujang itu akan diterbangkan ke Sibu, Sarawak untuk disemadikan di kampung halamannya.

Jelas Ayob Khan, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan siasatan lain akan dilakukan mengikut seksyen lain selepas suspek berjaya ditangkap.–AlHijrah Online

Leave a Reply