ANGGOTA POLIS PARAH DILANGGAR PENYELUDUP MINYAK

KULIM: Seorang anggota polis cedera parah selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika cuba menahan kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki disyaki penyeludup minyak.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi tadi di Jalan Kulim-Serdang itu, mangsa dilapor dihimpit kenderaan jenis Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki hingga menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala.

Mangsa berusia 31 tahun dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Hi-Tech Kulim kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan tidak sedarkan diri,

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan setugas cuba mengejar kenderaan suspek yang melarikan diri daripada pemeriksaan.

Katanya suspek yang berusia 40-an berjaya ditahan di kawasan Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Hasil siasat mendapati suspek yang berasal dari Sungai Petani mempunyai tiga rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis THC.

Kenderaan dipandu suspek juga dikesan telah diubah suai dengan meletakkan tangki minyak tambahan di bahagian belakang kenderaan.

Mohd. Redzuan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42 (1) dan 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online

Leave a Reply