Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AS, MESIR, QATAR DESAK RUNDINGAN SEGERA GENCATAN SENJATA DI GAZA, PERJANJIAN TAWANAN

DUNIA

AS, MESIR, QATAR DESAK RUNDINGAN SEGERA GENCATAN SENJATA DI GAZA, PERJANJIAN TAWANAN

“Ketiga-tiga kami (AS, Mesir dan Qatar) dan pasukan kami bekerja tanpa henti selama berbulan-bulan untuk menyediakan perjanjian kerangka kerja yang kini siap dengan hanya tinggal butiran pelaksanaan yang perlu dimuktamadkan.”

Gambar fail (AFP)

KUALA LUMPUR: Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar mengeluarkan kenyataan bersama pada Jumaat, menggesa Israel dan Hamas untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tawanan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Presiden AS Joe Biden, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani, mencadangkan rundingan segera diadakan pada 15 Ogos di Doha atau Kaherah.

“Ketiga-tiga kami (AS, Mesir dan Qatar) dan pasukan kami bekerja tanpa henti selama berbulan-bulan untuk menyediakan perjanjian kerangka kerja yang kini siap dengan hanya tinggal butiran pelaksanaan yang perlu dimuktamadkan,” kata para pemimpin dalam kenyataan itu.

Perjanjian ini berasaskan prinsip yang digariskan oleh Presiden Biden pada 31 Mei 2024 dan disokong oleh Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2735, menurut kenyataan itu.

“Tiada lagi masa untuk dibazirkan mahupun alasan daripada mana-mana pihak untuk menangguhkannya. Sudah tiba masanya untuk membebaskan tawanan, memulakan gencatan senjata dan melaksanakan perjanjian ini.

“Sebagai orang tengah, jika perlu, kami bersedia untuk mengemukakan cadangan yang menyelesaikan isu pelaksanaan yang masih ada dengan cara memenuhi jangkaan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Para pemimpin juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan “kelegaan”  kepada penduduk Gaza yang telah lama menderita serta kepada para tawanan dan keluarga mereka yang lama menunggu.

“Sudah tiba masanya untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan serta tahanan,” kata para pemimpin.

Israel yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan brutal yang berterusan di Gaza sejak 7 Oktober. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading