Bangunan dalam pembinaan runtuh: Dua cedera, seorang terperangkap

Anggota JBPM Kuala Lumpur melakukan operasi mencari dan menyelamat
di sebuah bangunan dalam pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran
Ringan (LRT) Putra, Terminal Gombak, di sini, awal pagi ini. – Foto JBPM KL

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Anggota bomba terpaksa merangkak untuk menyelamatkan seorang mangsa yang terperangkap dalam runtuhan konkrit laluan ke parkir bertingkat projek pembinaan stesen LRT Putra Terminal Gombak, di sini awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana ruangan menjadi sempit akibat runtuhan struktur bangunan.

Menurutnya, struktur binaan yang runtuh dan tidak kukuh amat merbahaya kepada anggota keselamatan.

“Bila-bila masa sahaja struktur dan serpihan bangunan yang terjejas akibat runtuhan boleh menimpa mangsa.

“Jadi tahap keselamatan yang kita ambil adalah pada tahap tertinggi,” katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.

Nordin berkata, operasi menyelamat sukar kerana mangsa tersepit pada struktur runtuhan bangunan yang besar.

“Pasukan bomba yang tiba dilokasi memulakan operasi dengan menstabilkan bangunan yang runtuh kemudian usaha mengeluarkan mangsa dilaksanakan.

“Seorang mangsa terperangkap telah dikeluarkan pada jam 7.05 pagi tadi.

“Kita memutuskan untuk mengeluarkan mangsa dan sebahagian anggota tangannya yang tersepit terpaksa dipotong.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Nordin memberitahu, dalam operasi ini, pasukannya juga menggunakan empat anjing dari unit pengesan bagi memeriksa sama ada masih ada saki baki mangsa terperangkap.

“Ini memandangkan kawasan runtuhan itu merupakan tempat tinggal pekerja pembinaan projek bangunan ini.

Terdahulu, dua mangsa diselamatkan oleh pekerja lain manakala seorang yang tersepit telah diselamatkan oleh bomba.

Punca runtuhan masih dalam siasatan.

Leave a Reply