BAYI DOKTOR MAUT, DITINGGALKAN 10 JAM DALAM KERETA

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas kira-kira 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini semalam.

Kejadian berlaku apabila ibu mangsa yang juga seorang doktor di hospital menyangka sudah menghantar anaknya ke TASKA sebelum ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, terdahulu pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

“Hasil siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke TASKA.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke TASKA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke TASKA.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply