BEKAS WARDEN PUSAT TAHFIZ BERDEPAN 10 TUDUHAN TERMASUK MELIWAT, AMANG SEKSUAL

KEMAMAN: Seorang bekas warden pusat tahfiz mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap enam pelajar lelaki.

Tertuduh, Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, membuat pengakuan tersebut semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap enam pelajar lelaki berusia 11 hingga 13 tahun di sebuah pusat tahfiz di sini, daripada Disember 2021 hingga Februari 2022.

Tertuduh berdepan dengan tuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, dua pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun yang sama, empat tuduhan di bawah Seksyen 14(d) dan tiga tuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid tidak menawarkan jaminan kerana menganggap kesalahan itu serius yang mana pelajar-pelajar tersebut patut dilindungi di bawah jagaan tertuduh.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM51,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah juga menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.–AlHijrah Online

Leave a Reply