BELANJAWAN 2021: AGONG TERIMA MENGHADAP MENTERI KEWANGAN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam majlis menghadap di Istana Negara yang berlangsung selama 70 minit bermula jam 3 petang tadi, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara.

“Seri Paduka Baginda juga turut dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak bulan Julai 2020, melalui lebih 40 sesi libat urus yang melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk para wakil daripada parti-parti politik negara yang telah diadakan baru-baru ini,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah katanya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan.

Baginda turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi dengan sebaiknya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan bagi merangka belanjawan yang bersifat inklusif dan komprehensif, serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak COVID-19,” kata Ahmad Fadil. — AlHijrah Online

Leave a Reply