KASTAM RAMPAS 1.4 JUTA BATANG ROKOK PUTIH DAN KRETEK

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 1.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dalam serbuan di rumah kosong di Taman Saujana Bakti, Teluk Intan, Sabtu lalu.

Pengarah JKDM Perak, Dr Mohamad Saprin berkata, kesemua rokok yang disyaki barangan larangan kastam dengan nilai anggaran RM1 juta termasuk cukai itu dirampas dalam serbuan kira-kira 6 petang.

“Hasil maklumat orang ramai, pegawai-pegawai JKDM Perak telah berjaya mengesan sebuah premis rumah yang disyaki menyimpan rokok yang belum lulus kastam atau tidak dibayar cukai.

“Setelah menunggu dan membuat intipan sekian lama, JKDM Perak mendapati rumah berkenaan kosong dan pihak JKDM Perak telah memecah masuk premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan didapati sejumlah rokok disimpan dan tiada bukti bahawa rokok-rokok berkenaan telah lulus kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Ipoh hari ini.

Menurut Dr Mohamad, kesemua rokok yang dipercayai dibawa masuk dari luar negara melalui pintu pelabuhan utama negara itu, adalah untuk pasaran di sekitar kawasan utara.

Beliau berkata, kesemua eksibit telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Perak Di Ipoh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu katanya, JKDM Perak turut merampas 202 botol minuman keras disyaki barangan larangan kastam bernilai hampir RM40,000 di sebuah kedai runcit di Ipoh.

Dr Mohamad berkata dalam serbuan Jumaat lalu itu, pemilik serta pengurus premis berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah seksyen sama.

Menurutnya, bekalan minuman keras yang berkualiti tinggi dari negara eropah itu dijual dengan harga lebih murah dari pasaran iaitu kira-kira RM100 sebotol dan berkemungkinan untuk dijual sempena Deepavali.

Leave a Reply