BELANJAWAN 2023: NANTIKAN PEMBENTANGAN PETANG ESOK – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi meluangkan masa meninjau persiapan terakhir pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di pejabat Kementerian Kewangan, di Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.

“InsyaAllah, nantikan pembentangannya jam 4.00 petang esok,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Anwar menyembah maklum berhubung Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan belanjawan yang bakal dibentang semula tidak akan terikat dengan perkara yang dibentang oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang baharu.—AlHijrah Online

Leave a Reply