Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

BERAS, MAKANAN SUDAH ROSAK, TIDAK SESUAI DIAGIHKAN – BEKAS AHLI PARLIMEN

DALAM NEGARA

BERAS, MAKANAN SUDAH ROSAK, TIDAK SESUAI DIAGIHKAN – BEKAS AHLI PARLIMEN

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar. Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian lagi telah dilupuskan.”

KUANTAN: Barangan keperluan asas antaranya beras, tepung dan sardin yang dibuang di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, seperti tular di media sosial, sudah dicemari kutu dan tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dalam kenyataan hari ini menjelaskan beliau telah menerima aduan pada 5 April lepas menyatakan terdapat bau busuk di stor barangan dapur tersebut.

Menerusi siasatan yang dijalankan pihaknya, beliau berkata terdapat beberapa bangkai tikus selain beras serta barangan dapur telah dicemari bubuk dan kutu beras.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar. Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian lagi telah dilupuskan,” katanya.

Ismail memaklumkan beras dan barangan dapur berkenaan merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kuala Krau dari 2004 hingga 2022.

Barangan dapur itu katanya disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

Menurutnya pembelian barangan dapur itu juga tidak melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri malah tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

Bagaimanapun, Ismail berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan itu dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

Video yang memaparkan barangan asas antaranya beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah tular sejak semalam di media sosial dan telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid pada sidang media hari ini memberitahu tapak pelupusan sampah itu beroperasi tanpa kelulusan pihaknya.

Beliau berkata SWCorp telah mengambil tindakan dengan menutup sementara tapak berkenaan sehingga siasatan melibatkan beberapa pihak selesai.

Menurut Sharudin pihak terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) kerana melonggokkan sisa pepejal terkawal di kawasan tidak dibenarkan.

Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading