BOT TERBALIK: 11 PATI MAUT, 25 MASIH HILANG

KOTA TINGGI: Sekurang-kurangnya 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) mati lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Tanjung Balau, pada 4.30 pagi tadi.
Mangsa maut terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita, dipercayai warganegara Indonesia.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Johor Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, bot yang membawa kira-kira 50 orang PATI itu karam selepas kawasan tersebut dilanda cuaca buruk.
Setakat ini, seramai 14 orang PATI warganegara Indonesia yang terdiri 12 lelaki dan dua perempuan dilaporkan selamat dan telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor.
Baki 25 individu masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dipergiat di perairan tersebut bagi mengesan mangsa.
“Operasi SAR diaktifkan pada 8.50 pagi tadi dengan penglibatan sebuah pesawat APMM, sebuah kapal APMM dan beberapa bot dari ATM, PDRM, Bomba, dan APM. KKM turut terlibat dalam operasi,” katanya dalam sidang media di Tanjung Balau, di sini.
Pemeriksaan mendapati bot pancung dengan empat enjin yang membawa kesemua PATI itu dipercayai menyeludup masuk ke perairan Malaysia secara haram.
Sementara itu, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat manakala yang ditangkap akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi siasatan lanjut.
Ujar Simon, siasatan lebih mendalam akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada tekong bot berkenaan turut terkorban atau berjaya melarikan diri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bot berkenaan berlabuh dari perairan Batam, Indonesia susulan kekuatan bot yang hanya mampu belayar dalam jarak yang dekat.–AlHijrah Online