CEO TV ALHIJRAH TERIMA ANUGERAH ASEAN INSPIRING AWARD WINNER 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menerima Anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021 Innovation-Inspire-Creativity anjuran Indonesia Award Magazine atas pembabitan serta kepimpinan beliau dalam dunia penyiaran Islam.

Namanzee menerima anugerah itu secara maya pada majlis yang diadakan di Jakarta, Indonesia semalam, Jumaat 23 April 2021.

Pengiktirafan peringkat Asean ini diberikan kepada Namanzee berdasarkan keupayaan serta komitmen berterusan beliau dalam membangunkan TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran dakwah yang berinovasi serta kreatif.

Dalam ucapan beliau, Namanzee berkata kemenangan ini membuktikan peranan penyiaran Islam sebagai agen informasi dan wahana paling berkesan untuk membekalkan maklumat tentang Islam serta membekalkan kandungan alternatif secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Secara realiti, ia bukan sesuatu yang mudah untuk stesen televisyen Islam kekal relevan dan bersaing terutamanya di saat dunia berhadapan dengan wabak COVID-19 yang merubah pola kehidupan sosial serta landskap ekonomi masyarakat dunia.

“Saya bertuah kerana dikelilingi warga kerja TV AlHijrah yang senantiasa bekerja keras secara kolektif dalam industri kreatif ini. Anugerah ini pastinya memberikan satu lonjakan semangat kepada kami semua untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa sebagai peneraju inovasi dakwah dalam industri kreatif,” katanya.

Tambah beliau, TV AlHijrah akan terus berusaha untuk menjadi media dakwah yang mengangkat penerapan Islam sebagai cara hidup, agama yang rahmah didekati termasuk penonton bukan beragama Islam.

“Suku kedua tahun 2021 bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi yang akan kami terbitkan dan siarkan demi memenuhi aspirasi penyiaran negara dan selera penonton yang dahagakan program ilmiah yang mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

“Terkini, kami akan siarkan program Khatam Al-Quran Perdana secara langsung selama 12 jam pada Ahad, 9 Mei 2021 akan datang. Rancangan ini akan mengajak penonton untuk bertadarus seisi keluarga bersama barisan Qari terkenal negara dalam usaha mengimarahkan malam-malam akhir Ramadan,” ujarnya.

Menurut Namanzee, Program Khatam Quran Perdana ini serta semua rancangan menarik lain di stesen TV AlHijrah memposisikan stesen ini sebagai stesen penenang jiwa yang memeluk emosi rakyat Malaysia tatkala negara menghadapi ancaman COVID-19 yang masih membimbangkan.

Sebelum ini Namanzee juga telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Top Young CEO in Media and Broadcasting Industry di Majlis Anugerah 100 Top Young CEO 2020 anjuran Ikon Malaysia.–AlHijrah Online

Leave a Reply