CETAKAN AYAT AL-QURAN PADA SELUAR DALAM

SANDAKAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan mengesan penjualan seluar dalam lelaki (boxer) yang mempunyai cetakan ayat al-Quran di beberapa pasar raya, di sini.

Lapor Sinar Harian, siasatan yang dijalankan mendapati ‘boxer’ yang berjenama terkenal tersebut mencetak sepotong ayat dari Surah Al-Hijr.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, susulan laporan itu selepas tular di media sosial, JHEAINS melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya pada Jumaat lepas.

“Memang ‘boxer’ itu dijual di pasar raya terbabit namun telah pun disimpan dan pemeriksaan lanjut di sebuah lagi cawangan pasar raya berkenaan turut menemui ‘boxer’ yang sama serta masih dipamerkan.

“Kami merampas sehelai ‘boxer’ terbabit untuk tindakan lanjut dan meminta pihak pasar raya tidak menjualnya lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, potongan ayat yang terdapat pada ‘boxer’ tersebut merupakan ayat ke-98 dari surah tersebut.

“Ayat itu jelas tertera pada ‘boxer’ berkenaan. Selain potongan ayat surah berkenaan, terdapat juga ‘boxer’ lain memaparkan gambar berkaitan ketuhanan agama lain,” tambahnya.

Romzi memaklumkan pasar raya terbabit tidak terlibat dalam proses penghasilan seluar dalam itu dan pihak syarikat juga telah mengeluarkan arahan penarikan semula penjualan pakaian dalam itu.—AlHijrah Online

Leave a Reply