COVID-19: CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG MULA KELIHATAN

KUALA LUMPUR: Perang menentang COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan sinar kemenangan sejak beberapa minggu lalu apabila jumlah kemasukan pesakit baharu mencatatkan penurunan.

Pakar Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noorulhana Sukarnakadi Hadzarami berkata, jumlah pesakit tempatan mula menunjukkan penurunan sejak minggu lepas.

“Sebenarnya dari minggu lepas saya simpan khabar gembira ini. Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan.

“Awal Julai kami dapati kemasukan pesakit COVID-19 warga emas mulai menurun. Minggu lepas jumlah kemasukan pesakit warganegara mulai menurun. Majoriti yang datang adalah warga asing,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ujarnya, keadaan di jabatan kecemasan ketika ini lebih terkawal berbanding sebelum ini.

“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup, dan canvas memenuhi segenap ruang dan laluan di Jabatan Kecemasan. Sekarang dah nampak lantai.

“Jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja.

“Masih ada rujukan pesakit COVID-19 kritikal ke ICU dari kalangan warganegara namun terdiri dari mereka yang tolak vaksinasi. Apa nak buat,” katanya.

Tambah beliau terdapat pesakit COVID-19 kritikal dari kalangan yang divaksin namun mereka sembuh lebih cepat berbanding yang tidak divaksin.

“Empat pesakit kami yang dah divaksinkan perlu bantuan pernafasan hanya 3-4 hari berbanding 2-3 minggu pesakit lain yang tak sempat menerima vaksin. Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID kritikal di ICU hanya 3 orang. Sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya.

Bagaimanapun tegas Dr Noorulhana jumlah pesakit di ICU masih ramai hasil kemasukan sejak sebulan lalu selain kadar pesakit meninggal dunia di rumah (BID) yang masih tinggi.

“Kita belum lagi menang. Kita berusaha dan bertawakkal. Insyaallah vaksin berkesan,” katanya — AlHijrah Online

Leave a Reply