COVID-19 DARI PERSPEKTIF ALAM SEKITAR

Oleh Dr Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Wabak COVID-19 yang kini melanda dunia sudah pasti membuka mata kita tentang sektor-sektor kritikal untuk dilestarikan dalam kehidupan manusia, terutama perlindungan kesihatan, jaminan makanan yang mapan dan keutuhan ekonomi.

Tidak ketinggalan, walaupun kurang didebatkan, adalah perkaitan wabak itu dengan isu alam sekitar, khususnya mengenai pencemaran dan kualiti udara.

Imej ruang udara China daripada Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang tular di media sosial menunjukkan pengurangan ketara Nitrogen Dioksida (NO2) semenjak perintah berkurung dilaksanakan di negara itu.

Ini boleh diperhatikan dengan jelas jika tumpuan difokuskan ke pusat jangkitan wabak ini di wilayah Wuhan.

Secara kebetulan, bahagian utara di semenanjung Itali yang kebiasaannya pesat dengan industri juga menunjukkan peningkatan kualiti udara yang mendadak semenjak wabak COVID-19 melumpuhkan kegiatan ekonomi di kawasan terbabit.

Itali merupakan antara negara dengan bilangan kes COVID-19 yang tinggi di Benua Eropah buat masa ini.

Ini diikuti beberapa perkongsian di media sosial mengenai visual sungai yang lebih jernih daripada biasa dan bebasnya mergastua ke kawasan-kawasan yang sebelum ini dipenuhi manusia.

Walaupun faktor meteorologikal mungkin ada memainkan peranan, bukti-bukti ini begitu jelas menunjukkan bahawa terdapat perkaitan di antara pengurangan aktiviti manusia dengan meningkatnya kualiti udara.

Mungkin ada benarnya terma Anthropocene yang dipopularkan saintis atmosfera yang juga merupakan penerima anugerah Nobel, Paul Crutzen yang menggambarkan zaman ini di mana dimensi geologi dunia akan berubah dengan ketara akibat aktiviti manusia.

Sungguhpun dapat dilihat dengan memberhentikan aktiviti perindustrian secara serentak dapat memberikan peningkatan positif kepada kualiti alam sekitar, ia bukan suatu langkah mudah untuk kelestarian ekonomi negara dan dunia.

Tetapi ada eloknya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga digunakan warga Malaysia untuk merenung kembali aktiviti kita selama ini dan memikirkan persoalan sama ada aktiviti itu boleh dijalankan dengan lebih mesra kepada alam sekitar dan juga kesihatan kita.

Seakan berbaur paradoks, kualiti udara yang baik, pastilah menyumbang kepada tubuh badan yang sihat dan kuat untuk meningkatkan pertahanan diri dari serangan virus maut ini.

Cuba kita bayangkan suatu senario di mana keseluruhan pengangkutan awam dan kebanyakkan kereta di Malaysia ini terdiri dari kenderaan cekap tenaga atau kereta elektrik.

Taman-taman perumahan dibekalkan kuasa elektrik oleh tenaga suria dan mikro-hidro yang dijana sungai dan danau kecil kita.

Semua di atas ini adalah langkah besar yang memerlukan kos tinggi tetapi bagaimana pula jika di peringkat individu, kita memilih untuk membeli-belah barangan buatan Malaysia berbanding barangan import untuk menjana ekonomi tempatan?

Mesyuarat yang tiada keperluan khusus untuk bersemuka secara fizikal diadakan secara maya sekali gus mengurangkan keperluan pelepasan karbon? Malah langkah yang begitu mudah seperti menggunakan aplikasi navigasi untuk mengelakkan terlalu banyak lampu isyarat ketika memandu ke tempat kerja, apatah lagi berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam dapat memberikan impak positif kepada alam sekitar.

Tempoh masa PKP ini amatlah baik untuk kita semua rakyat Malaysia menilai semula apakah yang dapat kita sumbangkan untuk memberi manfaat kepada komuniti, alam sekitar dan kualiti kehidupan.

Rakyat juga pasti menyambut baik penjenamaan semula Kementerian Alam Sekitar dan Air dan tidak sabar-sabar menanti apakah idea baru yang bakal dilaksanakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Malaysia bangkit pasca wabak Covid-19 ini.

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kebiasaan memanglah sukar untuk diubah tetapi diharapkan pengajaran dari pengalaman PKP ini membantu kita membina keupayaan mitigasi dan pengurusan bencana yang cemerlang selaras dengan impian negara menjadi negara yang maju dan terbilang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Penyelidik bagi Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply