COVID-19: REKOD KES HARIAN PECAH LAGI DI HARI TERAKHIR 2020

KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,525 kes harian baharu direkodkan di Malaysia hari ini menjadikan ia angka tertinggi sepanjang pandemik itu menyerang negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 113,010 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 13 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,512 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes (47.7 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 995 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 299 kes (11.8 peratus) dan Melaka sebanyak 239 kes (9.5 peratus),” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu menurut beliau sebanyak 304 kes (12.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), Kluster Pagar Siput (8 kes), Kluster Tembok Mempaga (5 kes), Kluster Pagar Bentong (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Tembok (1 kes), Kluster Kolam Air (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan (8) kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 471 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Lima kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Galah di daerah Klang, Kluster Jalan Datuk di daerah Titiwangsa, Kepong, dan Lembah Pantai, Kluster Kampung Baharu di daerah Johor Bahru dan Pontian di Johor, Kluster Pekeliling di daerah Johor Bahru, dan Kluster Rasah di daerah Seremban di Negeri Sembilan. — AlHijrah Online

Leave a Reply