CRS: KPDNHEP AKAN PANTAU PENJUALAN DALAM TALIAN AGAR IKUT PIAWAIAN

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau dengan teliti penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang meluas secara dalam talian ketika ini, bagi memastikan kerusi itu benar-benar mematuhi ciri-ciri piawaian yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak kementerian mempunyai tanggungjawab bagi memastikan pelbagai aspek mengenai kerusi itu dipatuhi supaya tidak timbul isu atau aduan mengenai barangan tiruan atau palsu dan tidak selamat, dijual kepada orang ramai.

“Garis panduan mengenai ciri-ciri kerusi keselamatan kanak-kanak itu telah pun dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tahun ini, dan apabila penggunaan kerusi CRS itu berkuatkuasa tahun depan, pihak kementerian akan terus melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan yang berkaitan dengan pematuhan ciri-ciri yang ditetapkan MIROS, standard keselamatan produk, cap dagangan sama ada palsu atau tulen dan sebagainya.

“Jika peniaga itu membuat pengiklanan, kita akan pastikan apa yang diiklan dan dijual itu betul-betul ada pada produk itu,” katanya kepada pemberita ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang melaporkan kerusi berkenaan boleh didapati pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 tiap satu, menerusi pembelian secara dalam talian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Dan Pakaian Sekolah Kepada 150 Murid-murid dari keluarga B40 dari Kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu di pasaraya Econsave di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kementerian boleh menggunakan peruntukan-peruntukan di bawah akta seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, bagi membendung penularan penjualan CRS yang tidak menepati piawaian ditetapkan.

Pada 23 Okt lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian akan diwajibkan mulai 1 Jan tahun depan.

Sementara itu, terdahulu Saifuddin memuji langkah yang diambil oleh pasaraya Econsave yang menawarkan barangan pada harga sangat murah.

“Berdasarkan tinjauan saya di banyak pasaraya, setakat ini pasaraya ini (Econsave) menawarkan harga paling murah iaitu bawang merah hanya RM1.99 sekilogram, ayam seekor hanya RM1 dan ada ayam yang dijual dengan hanya RM3.99 sekilogram.. sangat murah, jadi pengguna boleh membuat pilihan bijak semasa hendak membeli barangan keperluan,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply