KORPORAT DISARAN RUJUK MAIDAM SEBELUM LAKUKAN CSR BERKAITAN ZAKAT

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini menegur tindakan sesetengah syarikat korporat dan institusi perbankan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan mengaitkannya sebagai wang zakat, yang semakin menjadi trend sejak kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat kerana terdapat sebahagian penerima dalam program CSR tersebut bukanlah dalam kalangan asnaf.

“Program CSR mereka ini adalah untuk membantu golongan tidak bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim dan gelandangan, namun mereka mengaitkan CSR itu sebagai wang zakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kaunter pandu lalu bayaran zakat di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.

Sehubungan itu, Maidam menasihatkan mana-mana syarikat korporat atau institusi perbankan yang ingin mengadakan program CSR dengan mengagihkan wang zakat secara terus kepada penerima supaya menunaikan zakat terlebih dahulu kepada Maidam.

“Selepas itu, syarikat korporat ini boleh menuntut kembali sejumlah 25 peratus dari bayaran tersebut untuk diagihkan kepada penerima setelah mendapat nasihat serta pengesahan daripada Maidam.

Kaedah ini lebih sesuai agar pengurusan agihan zakat di Terengganu lebih lancar dalam membela nasib asnaf supaya penerima yang layak mendapat manfaatnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Maidam menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini meningkat kepada RM170 juta berbanding RM163 juta yang berjaya dikutip sepanjang tahun lepas.

“Kita optimis dapat mencapai sasaran itu memandangkan sehingga hari ini, jumlah yang berjaya dikutip ialah RM141 juta…kebiasaannya jumlah pembayaran zakat meningkat sehingga 80 peratus pada bulan terakhir berbanding bulan-bulan biasa.

“Apatah lagi pembukaan kaunter pandu lalu ini akan memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu bersesak di kaunter seperti mana sebelum ini,” katanya.

Kaunter pandu lalu yang terletak di perkarangan Kompleks Seri Iman itu menyediakan kemudahan bayaran zakat secara tunai atau tanpa tunai untuk umat Islam menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih selesa dan menjimatkan masa.

Bagi melancarkan lagi urusan pembayaran zakat pada saat-saat akhir, Maidam juga akan melanjutkan waktu operasi kaunter zakat iaitu tujuh hari seminggu termasuk cuti am sehingga pukul 10 malam bermula 13 Dis hingga 31 Dis depan.

“Kita galakkan orang ramai membayar zakat lebih awal bagi mengelak kesesakan pada minggu-minggu terakhir Disember tahun ini,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply