DA’I SYED BEBAS DUA TUDUHAN JENAYAH SEKSUAL 

Da’i Syed (dua, kiri) bebas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta. — Bernama

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 27, daripada kedua-dua pertuduhan itu.

“Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan,” katanya.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. – AlHijrah Online

Leave a Reply