DARI ANGAN-ANGAN KEPADA PENERIMA ANUGERAH PENERBANGAN DI AMERIKA SYARIKAT

KUALA LUMPUR: “Sejak dari kecil, saya memang gemar ke lapangan terbang untuk melihat pesawat kapal terbang dan helikopter berlepas serta mendarat. Berangan-angan juga agar dapat menceburi bidang aeroangkasa,” kata anak muda Malaysia Raja Akif Raja Zahirudin yang merupakan penerima Anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021.

Menurut Majlis Amanah Rakyat (MARA), anugerah itu diterima Raja Akif pada April 2021.

Beliau juga tahun ini tersenarai sebagai antara 27 orang pelajar kejuruteraan berbakat di dunia yang terlibat dalam bidang teknologi penerbangan vertikal.

Raja Akif yang merupakan pelajar Skim Pinjaman Pelajaran (SPIP) MARA telah melanjutkan pengajian di Pennsylvania State University, Pennsylvania, Amerika Syarikat dari tahun 2012 hingga 2016 dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa (Aerospace Engineering).

Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat Masters di bawah tajaan Yayasan Daya Diri dan kini sedang menjalankan pengajian diperingkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa di Penn State di bawah tajaan pelajaran MARA.

“Minat saya yang mendalam dalam bidang Aeroangkasa ini mendorong diri saya untuk menimba ilmu dengan gigih dan memanfaatkan peluang kemudahan pelajaran yang diberikan oleh pihak MARA untuk merealisasikan impian saya menjadi salah seorang pakar dalam bidang ini.

“Kini, saya bertugas sebagai pembantu penyelidik siswazah di Penn State di mana saya berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kajian dan projek.

“Pengalaman berkolaborasi dengan beberapa pusat penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) merupakan antara pengalaman belajar yang paling berharga bagi saya,” kata Raja Akif.

Beliau juga kini sedang berkolaborasi dengan NASA Langley Research Center untuk mengkaji kelebihan dari sudut akustik dan prestasi penerbangan yang dihasilkan oleh konfigurasi ‘coaxial co-rotating’ pada kenderaan eVTOL (Electric Vertical Takeoff and Landing).

Katanya beliau mempunyai impian untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman dan kepakaran teknologi di Amerika Syarikat agar dapat memberi sumbangan kepakaran bidang baharu ini kepada negara Malaysia. – AlHijrah Online

Leave a Reply