DISKAUN SEHINGGA 15 PERATUS UNTUK YURAN ASRAMA DAN UNIVERSITI

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan diskaun sehingga 15 peratus untuk yuran asrama dan yuran perkhidmatan di universiti awam bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pengurangan itu bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) prihatin dengan maklum balas daripada pelajar dan ibu bapa serta pihak berkepentingan supaya yuran terutama di universiti awam dapat dikurangkan.

“KPT telah membuat rundingan bersama Kementerian Kewangan dan kerajaan bersetuju untuk memberikan pengurangan yuran sehingga 15 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Nooraini berkata pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 akan melibatkan peruntukan bernilai RM72 juta dengan RM20 juta dibiayai Kementerian Kewangan dan RM52 juta lagi oleh pihak universiti awam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengembalikan semula sebahagian daripada yuran yang telah dibayar penuntut memandangkan mereka tidak masuk ke kampus sejak Mac lalu akibat COVID-19.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, institut pengajian tinggi awam dan swasta dicadangkan hanya melakukan pengajian atas talian bagi membendung penularan COVID-19.

Bagaimanapun pada 8 Julai lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran penuntut IPT kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober. — AlHijrah Online / Zaim Zamani.

Leave a Reply