TAK BOLEH TUNGGU LAGI, HUKUMAN MABUK AKAN DIPINDA SIDANG DEWAN KALI INI

KUALA LUMPUR: Jumlah kes maut akibat pemandu mabuk yang sudah mencapai 12 kematian bagi tahun 2020 memerlukan tindakan segera oleh pihak kerajaan bagi mengenakan hukuman lebih keras kepada individu tidak bertanggungjawab memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata jumlah mangsa maut itu menyebabkan kerajaan tidak boleh tunggu lagi dan cadangan pindaan hukuman telah mendapat persetujuan jemaah menteri dan ia akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat sesi kali ini.

“Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 telah pun bersetuju secara dasarnya untuk meminda Seksyen 41 hingga 45 secara khusus untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu.

“Pindaan ini bertujuan untuk menjadi satu bentuk pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi semua peraturan jalan raya,” katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanya adakah terdapat pindaan terhadap akta sedia ada mengenai isu pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Ka Siong berkata tiga komponen hukuman akan dipinda termasuklah kadar denda, tempoh penjara dan tempoh penggantungan lesen memandu kenderaan.

“Antara pindaan yang akan dilakukan ialah hukuman penjara maksimum ditingkatkan dari 10 tahun kepada 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun untuk kesalahan berikutnya, denda ditingkatkan dari RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM150,000 untuk kesalahan kedua, manakala tempoh penggantungan lesen ditingkatkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya.

Selain daripada pindaan hukuman, kerajaan juga akan meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu daripada 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing kepada 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 67 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Ka Siong juga memaklumkan berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pihaknya, 97% responden memberikan maklum balas yang positif dan bersetuju bahawa kuantum hukuman sedia ada tidak memadai. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply