Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

DRAMA ‘BIDAAH’ ADA BABAK KONTROVERSI, JAKIM TEGUR PIHAK PRODUKSI 

DALAM NEGARA

DRAMA ‘BIDAAH’ ADA BABAK KONTROVERSI, JAKIM TEGUR PIHAK PRODUKSI 

JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi drama bersiri ‘Bidaah’ dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, JAKIM bagi meneliti kandungan drama tersebut.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata penelitian itu merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.

“JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.

“Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambahnya, JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama. 

JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.

“Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat. 

“Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika,” katanya.

Drama bersiri Bidaah yang ditayangkan secara dalam talian mendapat kecaman warganet kerana mengandungi babak lucah dalam menyampaikan mesej Islam dan ajaran sesat. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading