DUA BERADIK MASIH BERSEKOLAH JAGA IBU TERLANTAR BARAH PAYUDARA

ALOR SETAR: Dua beradik yang masih bersekolah terpaksa menggalas tanggungjawab menguruskan ibu mereka yang terlantar akibat barah payudara.
Siti Aisyah Abdullah, 15, dan Muhammad Aliff Adam, 12, akan memastikan keperluan seperti makanan dan minuman tersedia sebelum meninggalkan ibu mereka bersendirian di rumah di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah untuk ke sekolah.
Menurut Siti Aisyah setiap hari dia akan bergegas pulang dengan berjalan kaki dari sekolah untuk menyediakan makanan tengah hari untuk ibu dan adiknya.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan itu berkata sejak kematian bapanya enam tahun lalu, ibunya mengambil alih tugas keluarga.
Namun selepas ibunya disahkan menghidap barah payudara Febuari lalu, tanggungjawab itu terpaksa dipikul dia dan adiknya.
Akibat kesempitan hidup, ada ketika keluarga itu terputus bekalan makanan.
“Emak bagi RM3 saya guna RM2 yang lebih tu simpan. Waktu balik tu kadang-kadang tak ada apa-apa tu tak makan, kalau ada makanan baru makan,” kata Siti Aisyah.
Tidak mengajar anaknya meminta dan menagih simpati orang lain Sofiah Yusof, 54, menceritakan dia yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin terpaksa mencatu duit zakat RM600 yang diterimannya setiap bulan.
Berhubung penyakit yang dihadapinya, Sofiah berkata dia pada mulanya menyedari terdapat ketulan pada payudara kanan dan telah pergi ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Katanya, selepas menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan), doktor mengesahkan Sofiah menghidap barah payudara tahap tiga.
Dia yang sudah menjalani pembedahan membuang payudara kanan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Kesusahan keluarga ini mendapat perhatian Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang mengunjungi dan menyampaikan barangan keperluan dan wang belanja.
Menurut Pengerusinya, Zuraini Kamal, beliau tersentuh selepas dimaklumkan Sofiah tidak mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan perubatannya kerana wang yang ada hanya cukup untuk makan minum serta perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.
“Menitis air mata dan sedih kerana rumah ini daif. Kita masuk dalam rumah pun kena hujan juga.”
“Puan Sofiah tinggal bersama dua orang anak yang menjaga ibunya dan kita difahamkan ada hari mereka tak ke sekolah bila perlu menjaga ibunya sebab ayah mereka sudah meninggal dan saya rasa amat terpanggil untuk membantu keluarga ini,” kata Zuraini.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Sofiah Yusof (0200641000098133) atau hubungi 017-5317810. –AlHijrah Online