DUA STAF OPERASI LRT LALUAN KELANA JAYA POSITIF COVID-19

KUALA LUMPUR: Dua kakitangan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya disahkan positif COVID-19 dan dikuarantinkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor bagi menerima rawatan.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh Rapid Rail, kedua-dua kakitangan itu bertugas buat kali terakhir pada 12 dan 13 Disember lalu.

“Insiden ini berlaku di kawasan yang tertutup, dan kami mendapati kedua-dua kakitangan tiada kontak dengan penumpang,” dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Rapid Rail, yang menjadi operator LRT Laluan Kelana Jaya, telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf-staf berkenaan malam tadi berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahannya, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan staf berkenaan diarahkan untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri.

Dalam pada yang sama, tren-tren sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi pada hari berkenaan.

“Kami juga memberi jaminan bahawa perkhidmatan LRT Kelana Jaya dan rangkaian-rangkaian rel lain kendalian Rapid Rail adalah selamat.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” tambah kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu turut mengingatkan pengguna untuk sentiasa mematuhi dengan rapi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Langkah-langkah ini adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif.

“Pihak kami komited menjalankan langkah-langkah yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan penumpang dan juga staf,” tambah Rapid Rail.

–AlHijrah Online

Leave a Reply