DUA WARGA EMAS MAUT KERETA BERTEMBUNG BAS

JBPM Perak

LUMUT: Dua warga emas maut apabila kereta yang yang dipandu salah seorang daripada mereka telah bertembung dengan sebuah bas ekspres, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku pada jam 6:00 pagi di Jalan Sitiawan-Ayer Tawar, berdekatan dengan Taman Nesa.

Mangsa yang terbunuh adalah Yeong Tua Kong, 79 tahun dan Yong Mooi Mooi, 68 tahun.

Masing-masing meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah pada badan.

Difahamkan, kereta Proton Persona yang dinaiki mereka dalam perjalanan menuju ke Sitiawan menghala ke Ayer Tawar, manakala bas ekspres tersebut yang dalam perjalanan dari Kelantan, bergerak dari arah Ipoh menghala ke Sitiawan.

Namun begitu, pemandu bas bersama 12 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki turut terlibat dalam kemalangan, namun dia tidak mengalami kecederaan fizikal.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Mohd. Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 6:15 pagi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Proton Persona dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan yang tiba di lokasi bersama ambulans,” katanya.

Pihak bomba sedaya upaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. –AlHijrah Online

Leave a Reply