NAIK TARAF KLANG SEBAGAI BANDAR RAYA KUKUH HASRAT WUJUDKAN GREATER KLANG VALLEY

Sumber Gambar: Facebook Klang Bandar Diraja

SHAH ALAM: Persetujuan yang dibuat Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) ke status Majlis Bandaraya Klang akan mengukuhkan lagi hasrat kerajaan Selangor mewujudkan pentadbiran “Greater Klang Valley”.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau menyambut baik pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam mengenai keputusan jemaah menteri untuk mengiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang sebagai bakal bandar raya keempat di negeri itu.

Katanya pengumuman itu menjadikan MPK bakal berstatus  bandar raya selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).  

Katanya Greater Klang Valley yang melibatkan keempat-empat PBT berkenaan dirangka agar dapat menjadi model metropolitan di Malaysia serta Asia Tenggara.

“Penaiktarafan itu dapat menjadikan, Bandar Diraja Klang yang kaya dengan sejarah dapat terus dibangunkan sebagai bandar yang mampan serta mempunyai peluang ekonomi yang tinggi.

“Dengan lahirnya Greater Klang Valley, pentadbiran keempat-empat PBT ini dapat dikukuhkan dan diselaraskan melalui penggunaan satu sistem untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi memudahkan urusan kerajaan sebagai pembekal perkhidmatan dengan rakyat sebagai pengguna khususnya penduduk dari Petaling Jaya ke Klang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Amirudin berkata Greater Klang Valley juga dapat menjadi “test bed” untuk perkhidmatan berasaskan teknologi Internet kelajuan tinggi khususnya 5G ke arah menawarkan perkhidmatan kerajaan sepenuhnya digital di lokaliti berkenaan.

Menurutnya penjelmaan Greater Klang Valley akan menjadi antara fokus utama pentadbiran kerajaan negeri dalam penggal yang akan datang sekiranya mendapat mandat baharu daripada rakyat. 

“Perancangan rapi sebegini adalah satu lagi petunjuk bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak leka dan sentiasa mencari ruang memperbaiki proses dan tahap perkhidmatannya,” katanya.

Beliau berkata cadangan dan keputusan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda serta proses pemasyhuran MPK kepada bandar raya.

Semalam, Nga berkata selaras dengan pengumuman penaiktarafan itu kementeriannya menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT meluluskan 21 projek berjumlah RM5 juta bagi menaik taraf kemudahan awam sekitar PBT tersebut, yang akan bermula dalam kadar segera dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.–AlHijrah Online

Leave a Reply