E.U. BERANG SEKOLAH YANG DITAJA DIMUSNAHKAN ISRAEL

BAITULAHAM: Puluhan pelajar berusia antara enam hingga sembilan tahun terkejut apabila sekolah mereka lenyap sama sekali sebaik tiba untuk proses pembelajaran, pada Ahad.

Sekolah yang dibina melalui dana daripada Kesatuan Eropah (EU), Sekolah Jibb Al-Deeb itu dirobohkan tentera Zionis, sekali gus menyebabkan sekurang-kurangnya 60 muridnya buntu untuk mengharungi proses pendidikan.

Lebih mendukacitakan, tentera penjajah turut melepaskan gas pemedih mata kepada penduduk Palestin yang berada di sekitar kawasan sekolah berkenaan.

Tindakan tentera penjajah itu mendapat kecaman EU, malah menyifatkan perbuatan meroboh sekolah adalah tindakan yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.

“Hak pelajar untuk mendapatkan Pendidikan harus dihormati,” menurut ciapan di laman Twitter EU and Palestinian.

Memetik ciapan itu lagi, tindakan meroboh sekolah itu hanya akan menambahkan lagi kesengsaraan hidup rakyat Palestin, dan akan mengundang situasi lebih tegang dalam konflik Palestin dengan penjajah.

Difahamkan, perlakuan biadab tentera berkenaan ke atas sekolah terbabit dibuat selepas petisyen dibuat oleh pertubuhan Regavim, yang diasaskan oleh beberapa individu termasuk Menteri Kewangan penjajah, Bezalel Smotrich.

Sementara itu, petugas media yang membuat liputan dan merakam proses perobohan berkenaan diusir anggota-anggota tentera Israel.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi laman Twitter Quds News Network, kelihatan sekurang-kurangnya lima hingga enam orang petugas media dihalau dan ditegah daripada membuat rakaman oleh tiga anggota tentera penjajah. –Alhijrah Online

Leave a Reply