JOHOR BAHRU: Sejak hampir 10 tahun lalu, Econsave telah mula menghulur bantuan kepada rakyat Palestin yang dilayan dengan biadap dan kejam oleh Israel.
Pelbagai sumbangan diberikan seperti baik pulih sekolah, ubat-ubatan, kelengkapan hospital dan bantuan barangan asas yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Pengurus Econsave, Mas Imran Adam berkata pada 2014, pihaknya memperuntukkan RM2.7 juta bagi kerja baik pulih Sekolah Alsolah Khadijah di Gaza yang musnah dibedil Zionis ketika itu.
Selepas dibaik pulih, sekolah itu bukan sahaja menjadi tempat kanak-kanak Palestin menuntut ilmu, tetapi kini menjadi tempat perlindungan rakyat dari serangan Israel.
Pada 2018 pula, RM3 juta pula diperuntukkan untuk bantuan kesihatan dengan pembelian ubat, kelengkapan hospital, serta kaki, tangan dan mata palsu.
Tidak terhenti di situ, tahun lalu hampir RM1.7 juta telah dikutip melalui Tabung Kecemasan Palestin yang diedarkan pihak mereka.
“Dana hasil tabung yang diedarkan itu digunakan untuk barangan perubatan, makanan, air bersih, dan ambulans.
“Sehingga kini tabung kita masih berjalan dan baru-baru ini Econsave dan MyCare ada membina kem perlindungan di Nuseirat, Gaza yang mempunyai 58 khemah,” katanya.
Tambahnya pada Hari Raya Aidiladha lalu, RM60,000 turut disalurkan untuk sembelihan haiwan ternakan bagi disalurkan kepada penduduk Gaza.
Katanya banyak lagi bantuan diperlukan di Gaza dan Econsave komited membantu dengan meletakkan Tabung Kecemasan Palestin secara fizikal di 100 cawangan seluruh negara. — AlHijrah Online