EMPAT LAGI MANGSA JADI KORBAN BANJIR

Gambar hiasan. Sumber BERNAMA

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri hari ini, merekodkan empat lagi kematian yang melibatkan tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, dalam dua kejadian berasingan di Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN – BANJIR: TIGA BERADIK MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK

Kejadian pertama yang meragut nyawa tiga beradik perempuan dilaporkan berlaku di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi banjir di hadapan sebuah rumah, sebelum terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN – BAYI 15 BULAN DITEMUKAN LEMAS DI PASIR MAS

Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan, ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Shapawi Stapa berkata mangsa dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya, sebelum hilang di kawasan rumahnya yang sedang dilanda banjir, sebelum kemudiannya mayat mangsa ditemukan timbul dan terapung di permukaan air.

ARTIKEL BERKAITAN – KANAK-KANAK DUA TAHUN KORBAN PERTAMA BANJIR TERENGGANU

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu, dalam kejadian di Kampung Apal.

Mangsa Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan yang dipercayai terjatuh di dalam air banjir dan dihanyutkan arus, ditemukan terapung dalam parit kira-kira 20 meter dari rumah tempat mangsa dikatakan terjatuh pada kira-kira 3.40 petang.

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir, kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

TNB turut memaklumkan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir akan diputuskan sementara bagi tujuan keselamatan, dengan penyambungan semula akan dilakukan sebaik ia selamat dilakukan.

Setakat malam ini, mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang terus mencatatkan peningkatan berbanding petang tadi, manakala di Johor menunjukkan sedikit penurunan dan tiada perubahan jumlah mangsa di Perak.–AlHijrah Online

Leave a Reply