MAKKAH: Seorang lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci Makkah, pada Rabu lepas, akibat jangkitan paru-paru dan kegagalan organ dalaman.
Ia menjadikan jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal di Tanah Suci bagi musim 1446H atau 2025M adalah seramai 16 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Allahyarham Abd Rahman Yusof, 71, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 malam waktu Arab Saudi, di Hospital Saudi German.
“Allahyarham yang merupakan jemaah dari KT059, Maktab 85B itu berasal dari Johor ditemani itu anak perempuannya, Siti Rafidah Abd Rahman yang turut berada di Tanah Suci ketika ini.
“Pihak Tabung Haji dan petugas haji Malaysia sedang memberikan bantuan sebaiknya kepada waris.
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah menerima ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
Untuk rekod, sebanyak 14 kes jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah berpunca daripada serangan jantung; seorang jangkitan kuman dan seorang jangkitan paru-paru.–AlHijrah Online