Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HANYA 10 PERATUS MASJID DI MALAYSIA TUBUH KOPERASI KARIAH – SKM

DALAM NEGARA

HANYA 10 PERATUS MASJID DI MALAYSIA TUBUH KOPERASI KARIAH – SKM

Hanya 10 peratus atau 657 daripada lebih 6,000 masjid di seluruh Malaysia menubuhkan koperasi kariah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua, kanan) menyaksikan penyerahan zakat perniagaan Gerakan Koperasi Melaka oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar (depan kiri) pada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu (tiga, kiri) selepas merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Melaka 2024 di sini hari ini. –fotoBERNAMA

MELAKA: Hanya 10 peratus atau 657 daripada lebih 6,000 masjid di seluruh Malaysia menubuhkan koperasi kariah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.

Beliau berkata penubuhan koperasi kariah masjid masih rendah ekoran beberapa kekangan antaranya terletak di bawah bidang kuasa berbeza di setiap negeri seperti majlis agama Islam atau adat istiadat masing-masing.

“Keadaan ini menyebabkan penerimaan setiap agensi itu berbeza kerana mereka tidak mempunyai peraturan atau prosedur yang sama sekali gus menyebabkan inisiatif menubuhkan koperasi kariah masjid di setiap negeri sukar dilakukan secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, SKM akan memudah cara dan membantu institusi masjid yang belum menubuhkan koperasi kariah terutama daripada aspek proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka 2024 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rusli berkata di Melaka, sebanyak 60 daripada 189 masjid telah menubuhkan koperasi kariah dan negeri itu antara yang aktif menggerakkan usaha penubuhan organisasi berkenaan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Beliau berkata masjid yang telah menubuhkan koperasi kariah dan mempunyai potensi akan ditawarkan pembiayaan atau bantuan dalam bentuk prasarana serta modal pusingan untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Inisiatif itu, katanya ditawarkan kepada koperasi kariah masjid dalam usaha mewujudkan lebih banyak rangkaian pemborong dan peruncit di bawah institusi tersebut sekali gus mampu menjadi pusat pengedaran, subpengedaran atau outlet.

“Situasi ini memudahkan kariah masjid mendapatkan barangan keperluan asas terutama produk halal yang dikeluarkan oleh koperasi kariah selain harga yang ditawarkan lebih mudah,” katanya sambil menambah SKM akan melihat semula indeks prestasi utama pembangunan koperasi kariah di Malaysia dalam usaha memastikan lebih banyak masjid dapat dibantu untuk menubuhkan koperasi.

Rusli juga berkata SKM akan mengadakan beberapa program berskala besar di Melaka antaranya Malam Penghargaan Rakan Koperasi 2024 yang dijadualkan pada awal September ini.

“Konvensyen Koperasi Masjid Peringkat Kebangsaan juga akan dilaksana pada bulan Oktober atau November dan kita bercadang menganjurkan Hari Koperasi Negara Peringkat Kebangsaan 2025.

“Kita memilih Melaka sebagai tuan rumah penganjuran program berskala besar ini kerana ia adalah negeri pelancongan dan mampu menarik kedatangan ramai pengunjung termasuk dari luar Melaka,” katanya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading