HINA SULTAN SELANGOR, PN DIGESA MOHON MAAF – SETIAUSAHA POLITIK MB SELANGOR

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menggesa Perikatan Nasional (PN) memohon maaf, ekoran kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.

Juwairiya dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan Muhammad Sanusi, yang juga Menteri Besar Kedah itu merupakan satu tindakan biadab, celupar dan tidak wajar dalam adab orang Melayu terhadap Raja.

“Saya menggesa agar PN mengeluarkan permohonan maaf dengan serta-merta dan tidak lagi mengaitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam kempen pilihan raya dan ceramah politik,” katanya.

Beliau berkata institusi diraja adalah berdaulat dan tidak seharusnya dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas demi meraih sokongan.

Terdahulu, tular video ceramah Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, berhubung kenyataan Muhammad Sanusi itu yang didakwa menghina Sultan Selangor. 

Beliau berkata laporan itu dibuat selepas melihat rakaman video di laman Youtube semalam mengenai ceramah Muhammad Sanusi pada program Jelajah Selangor Baharu di Selayang anjuran PN, pada Selasa lepas.

“Sebagai rakyat Malaysia dan negeri Selangor, saya percaya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah itu, jelas merupakan suatu yang bersifat menghina, memperlekeh serta memudaratkan sistem Raja Berperlembagaan, khususnya Kesultanan Selangor,” katanya.

Beliau berkata kesemua 22 cabang AMK juga diarah untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Pihak IPD Shah Alam mengesahkan menerima laporan itu.–AlHijrah Online

Leave a Reply