HOSPITAL AMPANG BERSTATUS HOSPITAL RAWATAN PESAKIT COVID-19 SEPENUHNYA

SHAH ALAM: Hospital Ampang kini berkuatkuasa sebagai hospital rawatan pesakit COVID-19 sepenuhnya (Hospital Full COVID-19) yang bermula semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang sebelum ini hospital tersebut berstatus ‘Hybrid COVID-19’.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, keputusan diambil susulan peningkatan kes positif harian yang tinggi terutama membabitkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan di zon wilayah tengah.
“Situasi ini menyebabkan purata penggunaan katil di hospital-hospital zon wilayah tengah melebihi kadar maksimum sehingga Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 menghadapi kesukaran untuk merujuk pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.
“Kini terdapat dua hospital yang akan beroperasi sebagai Hospital Full COVID-19 di Selangor iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang,” katanya.
Semua rujukan pesakit bukan COVID-19 dari fasiliti lain ke Hospital Ampang perlu dihentikan sementara waktu mulai Rabu bagi memberi ruang kepada Hospital Ampang menerima pesakit COVID-19, ujar Sha’ari.–AlHijrah Online