MEDIUM DAKWAH: KERAJAAN PERLUAS PERANAN TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluas lagi peranan saluran TV Islam tanah air, TV Alhijrah sebagai medium dakwah dan kefahaman Islam dalam masyarakat pada masa akan datang.

Perkara itu antara yang dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Albakri bersama Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Menurut Zulkifli, kerajaan mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai bagi memperkasakan lagi saluran televisyen berkenaan.

“Saya amat hargai dan meneliti setiap cadangan anda untuk penambahbaikan stesen TV Islam pertama negara ini,” kata Zulkifli menerusi ciapan di akaun Twitter beliau.

Menerusi perjumpaan dengan Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf itu, turut dibincang adalah tentang pencapaian semasa TV Alhijrah.

Sebelum ini, Alhijrah Online melaporkan bahawa stesen televisyen tersebut akan membayar zakat perniagaan buat pertama kali dalam sejarah sepanjang 11 tahun penubuhannya melalui keuntungan tahun 2020.

ARTIKEL BERKAITAN – ZULKIFLI SUJUD SYUKUR, TERIMA KHABAR GEMBIRA DARI CEO TV ALHIJRAH

Zulkifli melakukan sujud syukur sebaik menerima khabar gembira itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

“TV Alhijrah adalah ‘adik bongsu’ jika dibandingkan dengan stesen TV lain. Namun, ia mempunyai kedudukan tersendiri, sentiasa disegani dan terus memperkukuh peranannya dalam usaha menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat.

“Dengan zakat, insya-Allah segala urusan akan menjadi lebih berkat,” katanya.

Sementara itu Namanzee, dalam satu catatan di Facebooknya semalam berkongsi kesyukuran kakitangan TV Alhijrah mengenai pengumuman yang dibuatnya dalam sesi ‘townhall’ untuk suku kedua tahun 2021 yang diadakan menerusi dalam talian.–Alhijrah Online

Leave a Reply