IBU BAPA, PENJAGA DIBENAR TEMAN REMAJA TERIMA VAKSIN BERMULA 3 OKTOBER

Sumber Gambar: ARKIB

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk menemani remaja bagi mendapatkan vaksinasi bermula 3 Oktober ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga sahaja dibenarkan menemani remaja untuk masuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melihat sendiri proses vaksinasi yang diberikan.

Tambahnya, individu dewasa yang menemani juga dibenarkan merakam video suntikan ke atas remaja semasa proses vaksinasi dijalankan.

“Setelah selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi disediakan di kawasan pemerhatian mencukup untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi.

“Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular video seorang remaja 12 tahun disuntik picagari kosong oleh seorang petugas kesihatan semasa mendapatkan vaksinasi di PPV Universiti Malaysia (UM), Khamis lepas.

Petugas kesihatan yang menyuntik remaja tersebut dilapor telah diberhentikan dari bertugas memberi vaksin di PPV tersebut dengan serta merta.

Ulas Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), kerajaan memandang serius insiden tersebut di samping mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Semua petugas kesihatan dan sukarelawan terlibat diingatkan untuk menjalankan tugasan dengan penuh teliti dan bertanggungjawab,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply