IBU TUNGGAL MUALAF NEKAD TINGGAL DI MALAYSIA UNTUK PERTAHAN KEISLAMANNYA

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal berstatus mualaf buntu apabila ahli keluarganya di Laos mendesak mereka supaya pulang ke negara asal selepas dia kematian suami, Julai lalu.

Siti Nor Haslin Abdullah, 48, dan empat anaknya, Siti Hasniza Norazuan, 18, Ahmad Asrul, 16, Ahmad Nazrin, 13, dan Siti Nor Ayuni, 10, bagaimanapun enggan pulang ke kampung halamannya kerana bimbang diminta kembali menganut agama asal.

“Sejak arwah (suami) meninggal ni agak susah lah, ayah dan kakak suruh balik ke Laos. Di sana tiada yang beragama Islam, semua Buddha,” katanya.

Tambah membimbangkannya, tiada masyarakat Islam yang tinggal di perkampungan itu, malah bapa dan 10 adik-beradiknya masih menganut agama asal mereka.

Siti Nor Haslin berkata, mereka sekeluarga kini menetap di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu dan akan terus tinggal di lokasi itu meskipun tidak mempunyai ahli keluarga.

Walaupun buntu dan hilang tempat bergantung selepas kematian suami, Norazuan Mohd Noor akibat penyakit jantung Julai lalu, namun Siti Nor Haslin tetap berusaha mencari rezeki dengan menjual mi celup secara kecil-kecilan untuk keperluan keluarga.

Menurutnya, walau apa yang terjadi, dia nekad untuk mempertahankan agama Islam yang dianuti sejak 22 tahun lalu.

Kesusahan yang dialami oleh keluarga ini mendapat perhatian Pertubuhan Cakna Ummah Kelantan (PCUK) yang tampil membantu dengan menyumbangkan bantuan barangan keperluan asas untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka sekeluarga.

Muhammad Khairul Anan Zulkifle, Pengerusi PCUK

“Bagi saya ini isu besar sebab bila mereka balik ke sana, berkemungkinan mereka perlu ikut agama masyarakat di sana.

“Jadi kita cuba sedaya upaya untuk bantu mereka dari segi pembelian barangan harian dan barangan asas setiap bulan dan menyenaraikan mereka dalam 2000 orang asnaf kita,” kata Muhammad Khairul Anan Zulkifle, Pengerusi PCUK.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga Siti Nor Haslin, boleh menghubungi anak beliau, Siti Hasniza di talian 017-909 0043. –AlHijrah Online

Leave a Reply