IDRIS SEBAK BACA PETIKAN KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW

KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dilihat sebak ketika membaca petikan Khutbah Terakhir Rasulullah SAW pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah pagi tadi.

Isi kandungan khutbah yang dibaca penuh penghayatan turut membuatkan penonton rasa sayu dan tersentuh hati.

Berikut merupakan petikan teks Khutbah Terakhir Rasulullah SAW yang dibaca Idris:

Kata Nabi dalam bingkisan Khutbah terakhirnya : “Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

“Wahai manusia, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Allah telah mengharamkan riba, dan “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta menteri-menteri Kabinet selain ratusan hadirin. – AlHijrah Online

Leave a Reply