KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri menegaskan rakyat Palestin menolak sebarang rancangan untuk dipindah keluar dan tetap komited mempertahankan tanah air mereka.
Beliau mendakwa rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin ini bertujuan untuk menguasai Masjid Al-Aqsa dan melemahkan mereka yang berjuang menentang rejim Israel.
“Rakyat Palestin sudah mengharungi tempoh pencerobohan Israel hampir 100 tahun. Oleh itu, mereka tetap tidak akan menyerahkan tanah ini.
Mereka telah banyak berkorban deminya”, katanya kepada Bernama melalui kenyataan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp.
Beliau berkata kepulangan semula pelarian Palestin ke Gaza memberi mesej jelas bahawa tanah ini milik mereka dan tidak akan sekali-kali menyerahkannya.
Beliau juga berkata rakyat Palestin tidak akan sekali-kali meninggalkan Masjid Al-Aqsa, yang merupakan sebahagian dari hidup mereka dan memberi amaran tentang akibat keangkuhan rejim Israel dan cita-citanya untuk memperluaskan pendudukan haram.
“Pencerobohan dan pendudukan haram ini perlu ditamatkan, kerana ianya hak milik rakyat Palestin, bukannya milik Israel”, kata beliau.
Sheikh Ekrima juga memuji pendirian antarabangsa yang menolak pemindahan penduduk Palestin dari tanah air mereka, antaranya Mesir dan Jordan yang secara jelas menolak rancangan ini.
Beliau menyeru negara Islam untuk “menyatukan saf” untuk memelihara Masjid Al-Aqsa dan menolak semua rancangan pendudukan Israel dan sekutunya.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran secara kekal.
Pada masa sama, Malaysia menyifatkan cadangan untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza sebagai sesuatu tindakan “di luar fikiran waras” dan jelas bertentangan dengan konvensyen, piagam dan perjanjian antarabangsa.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata cadangan itu juga bertentangan dengan sokongan Malaysia serta masyarakat antarabangsa selama ini, selain melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara yang merdeka. –AlHijrah Online