IMIGRESEN SELAMATKAN KANAK-KANAK MYANMAR DIUPAH SEBAGAI JURUJUAL

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamat seorang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar yang dipercayai diupah bekerja sebagai jurujual barangan runcit di sebuah premis di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, di sini semalam.
Kanak-kanak yang memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu diselamatkan menerusi operasi digerakkan Unit Risik Operasi Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyelundupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Majikan, seorang warganegara Malaysia berusia 47 tahun turut dipanggil untuk diambil keterangan. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat.
“Operasi menyelamat kanak-kanak berusia 15 tahun disyaki mangsa dilaksanakan hasil aduan orang awam. JIM mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang disalurkan ke Jabatan itu,” kata kenyataan JIM.
Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.—AlHijrah Online