Inkues Adib: Syazlin jawab empat sebab Peguam Negara


Peguam, Syazlin Mansor bercakap pada sidang media bertempat di Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang Off Jalan Duta. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR – Bekas peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor hari ini menjawab empat sebab yang dikemukakan Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung arahan untuk menghentikan lantikannya oleh kementerian itu dalam prosiding inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, merujuk kepada Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah, lantikannya tidak memerlukan fiat (kelulusan bertulis) daripada Tommy berikutan beliau hanya dilantik sebagai menjadi pihak berkepentingan dan bukanlah mengendalikan inkues.

“Sepertimana sedia maklum, prosiding inkues ini dikendalikan oleh pegawai pengendali iaitu Timbalan Pendakwa Raya dan bukannya saya.

“Jadi, Menteri KPKT tidak memerlukan fiat bagi melantik saya menjadi pihak berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, isu wujud konflik kepentingan memandangkan beliau juga mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan keluarga selain KPKT tidak pernah timbul.

“Tiada asas untuk keluarga mempercayai bahawa Muhammad Adib dilanggar oleh JBPM,” katanya.

Beliau berkata, bapa Muhammad Adib dalam keterangan di mahkamah menyatakan bahawa anaknya gembira menerima kunjungan rakan sekerja sewaktu terlantar di hospital.

“Sekiranya benar-benar dilanggar oleh rakan-rakannya, adakah Muhammad Adib gembira menerima kunjungan itu?” katanya.

Alasan yang dikemukakan Tommy bahawa beliau mengambil peranan aktif dan sering bercanggah di dalam inkues itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia adalah tugasnya.

“Adalah menjadi tugas saya sebagai peguam pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil peranan aktif dalam membantu Koroner menyiasat apakah paling mungkin berlaku ke atas Muhammad Adib dan penyebab kematiannya,” katanya.

Tambahnya cubaan Tommy mengaitkan kedudukan suaminya Ahmad Soffian Mohd Shariff yang juga Setiausaha Akhbar Menteri KPKT adalah berniat jahat.

“Adakah salah bagi saya seorang peguam yang ingin membantu keluarga mangsa secara pro bono? Saya percaya ia tindakan jahat untuk memburukkan nama kami,” katanya.

Prosiding inkues itu berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad memasuki hari ke-36 dan 29 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. – SINAR HARIAN

Leave a Reply