Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

INSTITUSI KEAGAMAAN MAIN PERANAN PENTING PUPUK PERSEFAHAMAN, KERJASAMA – AARON

DALAM NEGARA

INSTITUSI KEAGAMAAN MAIN PERANAN PENTING PUPUK PERSEFAHAMAN, KERJASAMA – AARON

Institusi keagamaan, yang sekian lama menjadi tonggak masyarakat Malaysia dalam menyediakan bimbingan rohani, hala tuju moral, dan semangat kemasyarakatan, memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman dan kerjasama antara penganut pelbagai agama.

Gambar FAIL (BERNAMA)

KOTA KINABALU: Institusi keagamaan, yang sekian lama menjadi tonggak masyarakat Malaysia dalam menyediakan bimbingan rohani, hala tuju moral, dan semangat kemasyarakatan, memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman dan kerjasama antara penganut pelbagai agama.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kekuatan Malaysia terletak pada masyarakat berbilang budaya dan agama.

Sehubungan dengan hal itu, beliau menegaskan bahawa meraikan kepelbagaian ini bukan sekadar satu aspirasi, tetapi satu keperluan untuk perpaduan dan kemajuan negara.

“Institusi keagamaan bukan berada di pinggir pembinaan negara, ia adalah terasnya. Sepanjang sejarah, rumah ibadat menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang memerlukan, pusat pendidikan serta kekuatan moral,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tritahunan ke-18 Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM), Kota Kinabalu, hari ini.

Aaron berkata dengan cabaran baharu abad ke-21, seperti maklumat palsu digital, politik identiti dan relativisme moral, suara agama tidak boleh disenyapkan, tetapi dipandu oleh kebijaksanaan, kesederhanaan dan keadilan.

Beliau berkata pemimpin agama perlu terus menjadi suara keamanan dan kejelasan pada saat-saat kekeliruan, menjadikan Malaysia sebagai mercu tanda keharmonian di dunia yang sering dilanda perpecahan, bekerjasama bukan sebagai orang asing atau pesaing, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian.

Konsep “Keharmonian dalam Kepelbagaian” adalah teras kepada visi kerajaan Malaysia MADANI yang bersatu, dan menekankan pentingnya persefahaman, penghormatan dan penerimaan antara semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama atau budaya.

“Keharmonian MADANI, tonggak utama di bawah visi ini, mencerminkan hala tuju strategik Kementerian Perpaduan Negara dalam memupuk keharmonian yang mendalam dan bermakna antara masyarakat berbeza agama, etnik dan budaya. Ia bukan sekadar slogan, ia satu kerangka tindakan,” katanya. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading