IPC tunduk pada Israel, lucut hak Malaysia anjur renang para

Presiden IPC, Andrew Parsons tunduk kepada Israel dan melucutkan hak Malaysia menjadi tuan rumah renang para
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah tunduk kepada desakan Israel dan melucutkan hak Malaysia untuk menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas negara ini bertegas untuk tidak membenarkan atlet dari negara haram itu menyertainya.
“Semua kejohanan dunia mesti terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak bagi bertanding dengan selamat dan bebas dari diskriminasi,” kata Presiden IPC Andrew Parsons dalam kenyataan selepas mesyuarat bersama lembaga pentadbir IPC di London.
Israel sebelum ini menggesa IPC menukar lokasi kejohanan, jika badan itu gagal memujuk Malaysia membatalkan larangan sebelum acara bermula.

Sukan renang para
Tanpa mengambil kira hak Malaysia untuk mengekalkan status tiada hubungan diplomatik dengan Israel, Parsons menuduh keputusan tegas negara ini adalah disebabkan politik.
“Apabila negara tuan rumah mengecualikan atlet dari negara tertentu atas sebab politik, jadi kami tiada alternatif untuk mencari tuan rumah baharu untuk kejohanan.”
Lebih kurang 600 perenang dari 60 negara dijangka berentap merebut 160 kejuaraan dalam kejohanan yang dijadual diadakan di Sarawak sebelum ini.
Parsons berkata apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia pada September 2017 untuk menganjurkan kejohanan itu, “Kami diberi jaminan semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan menyertai acara itu bersama jaminan keselamatan mereka”.
“Sejak itu, terdapat perubahan pucuk pimpinan politik, dan kerajaan baharu Malaysia mempunyai pendapat berbeza.
“Politik dan sukan tidak sehaluan dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia.”

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tegas mengutamakan kepentingan rakyat Palestin yang tertindas
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Malaysia tidak akan berganjak dari keputusan untuk tidak menerima kemasukan atlet Israel.
“Jika menjadi tuan rumah kepada acara sukan antarabangsa lebih penting dari memperjuangkan hak saudara Palestin kita yang dibunuh, dicederakan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ia bermakna Malaysia telah hilang hala tuju moral,” katanya dalam satu kenyataan.
“Malaysia tidak akan berganjak dari keputusan kita atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan bagi nasib Palestin. Tiada kompromi.”
Kejohanan yang juga merupakan kelayakan untuk Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu sebelum ini dijadualkan mengambil tempat di Kuching bermula 29 Julai hingga 4 Ogos.
Pingback: Tindakan IPC tak jejas pembangunan sukan negara | HIJRAH ONLINE
Pingback: Keputusan Malaysia terlalu kecil berbanding kejahatan Israel | HIJRAH ONLINE