Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

IRAN NAFI SASAR HOSPITAL SOROKA DI SELATAN ISRAEL

DUNIA

IRAN NAFI SASAR HOSPITAL SOROKA DI SELATAN ISRAEL

Iran menafikan dakwaan Israel bahawa pihaknya sengaja menyerang Hospital Soroka di selatan Israel dan mendakwa peluru berpandu itu menyasarkan ibu pejabat tentera dan perisikan Israel yang terletak berhampiran Hospital Soroka.

Seorang jururawat membawa bekalan perubatan melepasi bangunan yang terbakar di Hospital Soroka selepas serangan peluru berpandu Iran di Beersheba. – AFP

ISTANBUL: Iran pada Khamis menafikan dakwaan Israel bahawa pihaknya sengaja menyerang Hospital Soroka di selatan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Angkatan Bersenjata kami yang berkuasa telah dengan tepat memusnahkan sebuah Markas Pemerintahan, Kawalan dan Risikan Tentera Israel serta satu lagi sasaran penting,” kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam kenyataan di platform X miliknya.

Beliau berkata gelombang letupan hanya menyebabkan kerosakan kecil pada sebahagian kecil bangunan Hospital Tentera Soroka yang terletak berhampiran dan sebahagian besarnya telah dikosongkan.

“Kemudahan itu kebanyakannya digunakan untuk merawat tentera Israel yang terlibat dalam tindakan genosid di Gaza, sejauh 25 batu dari situ, di mana Israel telah memusnahkan atau merosakkan 94 peratus hospital Palestin,” tambahnya.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA mendakwa peluru berpandu itu menyasarkan ibu pejabat tentera dan perisikan Israel yang terletak berhampiran Hospital Soroka.

Permusuhan bermula pada Jumaat apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan tentera dan nuklear, sehingga mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Di Iran, seramai 585 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 1,300 cedera akibat serangan Israel, menurut laporan media tempatan. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading