KUALA LUMPUR: Islam melarang lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam perkongsian di Facebook hari ini menegaskan wanita juga dilarang memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki.
“Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan.
“Hikmah Allah SWT dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia,” menurut perkongsian JAKIM.
Larangan pakaian menyerupai jantina lain turut dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.” (Riwayat Abu Daud).
Sebelum ini tular beberapa keping gambar lelaki yang didakwa berpakaian wanita pada satu acara nyanyian di ibu negara. — AlHijrah Online